Hari ini :
Anda Tidak Log Masuk? >> Sila Log Masuk

Solat Hajat & Sambutan Hari Guru

Seperti kelaziman, sambutan hari guru diadakan di kebanyakana sekolah pada tanggal 16 Mei setiap tahun. SRIP Paka juga tidak terkecuali bagi meraikan jasa dan pengorbanan insan yang bergelar GURU.
Untuk tahun 2010, sambutan peringkat sekolah di adakan pada 16 Mei 2010 dengan tema 'Guru Mithali Pembentuk Generasi Rabbani'. Tema ini dipilih sesuai dengan kerjaya seorang guru yang mempamirkan contoh teladan yang baik dalam melahirkan anak didik yang pintar dan pada masa yang sama bertaqwa kepada Allah selaras dengan matlamat Sekolah Rendah Islam Pintar.
Program pada sebelah pagi diisi dengan sukaneka antara guru dan murid yang diadakan di padang sekolah. Antara acara yang dipertandingkan ialah lari dalam guni, memancing ikan di daratan, menjaring bola, jejak kasih, membaling gelung, boling padang dan juga membawa biji getah.
Pada jam 10 pagi, guru dan murid sama-sama menikmati hidangan jamuan hari guru. Banyak juadah yang menyelerakan yang kebanyakannya adalah sumbangan daripada ibu bapa murid-murid SRIP yang begitu bermurah hati. Semoga mereka dimurahkan lagi rezeki oleh Allah dan semoga Allah memberkati rezeki yang dikurniakan.
Selepas jamuan, acara dewan pula diadakan di dewan solat. Adik Ikram Haikal Raimie memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada surah Al-Luqman sebagai pembuka acara. Seterusnya, perutusan hari guru oleh guru besar yang menyentuh banyak perkara berkisar tema perayaan peringkat sekolah. Majlis rasmi ini kemudian diseri dengan persembahan daripada murid-murid, antaranya, deklamasi sajak oleh adik Siti Aisyah Razak, nyanyian oleh pelajar pra dan lakonan yang bertajuk "Do and the Dont".

Pada 20 Mei pula diadakan program Solat Hajat dan Jamuan Hari Guru bersama ibu bapa. Program dimulakan dengan Solat Maghrib yang diimamkan oleh Ustaz Aruddin daripada Ma'ahad Tahfiz Al-Quran Darul Bayan. Usai solat Maghrib, ustaz Arudin juga telah menyampaikan Kuliah Maghrib dengan tajuk Peranan Ibu Bapa dan Guru Terhadap Pendidikan Anak-anak. Para tetamu mendengar dengan penuh khusyuk. Semoga isi kuliah yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua dalam usaha pendidikan yang begitu mencabar ini. Program kemudian diteruskan denagn solat Isyak serta solat hajat secara berjemaah. Di penghujung program, para tetamu menjamu selera dengan hidangan nasi berlaukkan masakan kampung dengan penuh selera sebelum pulang.

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Sekolah Rendah Islam Pintar Paka | © Copyright  2011